fbpx

Kaut untung RM50,000 jual buluh sempena PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN musim perayaan, Rozlan turut meraih keuntungan berganda bernilai puluhan ribu ringgit menjual buluh pada PRU15.

PETALING JAYA – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada kali ini bukan sahaja lubuk rezeki kepada pengusaha kereta sewa dan makanan tetapi durian runtuh buat peniaga buluh, kedai per­cetakan serta penjual tudung.

Rata-rata mereka yang sebelum ini terkesan akibat penularan wabak Covid-19 tersenyum lebar apabila berjaya meraih keuntungan bernilai puluhan ribu ringgit dalam tempoh dua ming­gu berkempen.

Peniaga buluh, Rozlan Zainal, 46, berkata, dia bersyukur apabila PRU15 menjadi bonus berganda buat dirinya kerana dapat menjana pendapatan kira-kira RM50,000.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, sebelum ini jualan buluh hanya tinggi pada musim Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

“Saya jual buluh lemang bermula 2015 tetapi sejak PRU14, saya mula jual buluh bendera dan tidak menyangka bahawa hasilnya sangat lumayan.

“Sepanjang kempen ini saya sudah menjual 52,000 batang buluh bendera. Memang tidak sangka, PRU15 lubuk rezeki bagi peniaga macam saya. Alhamdulillah, rezeki anak-anak dan isteri,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rozlan memberitahu, kerja-kerja mencari buluh dilakukan bersama 20 pekerjanya di sekitar Gambang dan bermula pukul 8.30 pagi hingga 7 malam.

“Buluh liar atau hutan berukuran 2.5 meter ke tiga meter ini saya jual dengan harga RM1.80 sebatang. Apabila jentera parti membuat tempahan dan pembayaran, saya akan terus hantar menggunakan lori sendiri,” katanya yang menetap di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.

Mohamad Syazwan peroleh keuntungan RM20,000 sepanjang tempoh kempen PRU15.

Sementara itu, pemilik kedai percetakan di Ampang, MS Print Houze, Mohamad Syazwan Azmi, 32, berkata, dia terpaksa ­melanjutkan waktu operasi apabila tempahan mencetak baju berlogo parti meningkat tiga kali ganda daripada kebiasaan.

“Kami beroperasi sehingga 10 malam pada hari tertentu. Ada yang tempah sehingga 2,000 helai baju.

“Bagi sepasang baju, kita jual dengan harga antara RM13 hingga RM15 sehelai bergantung kepada kuantiti dan rekaan cetakan. Setakat ini keuntungan diperoleh sekitar RM20,000,” jelasnya.

Tambahnya, PRU15 ini secara tidak langsung menjadi sinar harapan buat pemilik kedai percetakan sepertinya selepas dua tahun bergelut dengan pandemik.

“Peniaga seperti kami diuji sejak 2020 jadi apabila PRU15 ini umpama harapan untuk kami. Tempahan masuk tanpa henti, malah pekerja juga mendapat tempias rezeki daripada keuntungan yang diperolehi,” jelasnya.

ZARINA dan suaminya menunjukkan antara tudung bermotifkan bendera parti yang dijual secara dalam talian di Kota Bharu, Kelantan.

Rezeki terpijak turut diperolehi peniaga tudung di Kota Bharu, Kelantan, Zarina Dahalan, 45, yang memberitahu, jualan tudung yang memaparkan logo parti meningkat dua kali ganda pada PRU15 berbanding PRU14.

“Kerajaan umum bubar Parlimen, tempahan sudah mula masuk sampai sekarang. Mate­rial tudung adalah cotton berharga RM20 ke RM25. Sangat selesa dan mudah dipakai menyebabkan pelanggan suka.

“Setakat ini saya sudah jual lebih 200 helai. Ingatkan raya saja jualan bagus tapi PRU15 pun sama. Durian runtuh lima tahun sekali,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI