fbpx

Jana pendapatan lima angka sebulan jual seni kaligrafi Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Amyrah menunjukkan sebahagian daripada produk kaligrafi keluaran syarikatnya di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Konsep jualan terus dalam talian menjadi kunci bagaimana Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Penampang ini dapat bertahan menghadapi cabaran ekonomi tidak menentu susulan situasi pandemik Covid-19 sebelum ini.

Di kala ramai peniaga terjejas teruk, Nurul Amyrah Nazwa Abdullah, 40, pemilik Munirah Art Galeri ini mampu menjana pendapatan bulanan mencecah lima angka sebulan hasil jualan seni kaligrafi islam.

Facebook (FB), Instagram (IG), Whatapps (WA) dan Telegram menjadi antara aplikasi media sosial yang dijadikan platform bagi pemasaran secara dalam talian dilaksanakan ibu kepada empat anak ini.

Lebih mesra dengan panggilan Amy, beliau berkata, kejayaan dikecapinya itu hasil perancangan strategik dan kreatif membabitkan rekaan hiasan menarik, berkualiti serta harga kompetitif.

Menurutnya, harga berpatutan ditawarkan pihaknya telah menarik minat pelanggan dari seluruh negara yang rata-ratanya dari beberapa agensi kerajaan, korporat dan individu.

“Jualan secara online adalah konsep yang wajar menjadi platform kepada ramai usahawan untuk memasarkan produk mereka khususnya dalam memenuhi keperluan situasi ekonomi ketika ini.

“Apa yang penting adalah terus berusaha dan belajar ilmu perniagaan serta pemasaran, kekal kreatif dan selebihnya tawakal kepada Allah Maha Pemberi Rezeki,” katanya ketika ditemui di galerinya di sini.

Amy berkata, terdapat lebih 500 rekaan kaligrafi moden dan tradisional disediakan pihaknya dalam aplikasi Telegram dan pelanggan boleh memilih rekaan pilihan seterusnya membuat tempahan.

Menurutnya, pelanggan juga bebas dengan idea rekaan sendiri kerana pihaknya turut menawarkan perkhidmatan sama bagi menghasilkan produk hiasan lengkap sebagaimana kemahuan pelanggan.

Menceritakan penglibatan awalnya dalam bidang ini, Amy berkata, semuanya berlaku pada tahun 2019 apabila perniagaan kraftangannya terjejas susulan perintah kawalan pergerakan (PKP 1.0).

Katanya, sebelum pandemik melanda, beliau mampu meraih pendapatan lumayan sejak membuka perniagaan itu tahun 2017 malah lebih daripada pendapatannya hari ini susulan industri pelancongan Sabah yang maju ketika itu.

“Selepas ketiadaan pelancong luar akibat Covid-19, saya memang terjejas pada awalnya, namun ia satu hikmah kerana akhirnya terpaksa mencari idea baharu yang lebih memenuhi situasi ketika itu dan timbul ilham menghasilkan seni hiasan kaligrafi Islam.

“Bermula dengan pembiayaan sebanyak RM5,000 daripada AIM, saya terus merangka perancangan strategik menerusi jualan dalam talian sambil mempraktikkan cara pemasaran melalui platform itu.

“Semasa PKP, ramai yang terpaksa duduk rumah dan mengisi masa mendekorasikan rumah mereka hingga produk saya mendapat tempahan yang banyak dan berterusan sehingga hari ini.

“Alhamdulilah saya mampu bertahan malah berkembang walaupun baru berkecimpung dalam bidang ini tiga tahun lalu, ditambah lagi dengan minat dalam seni rekaan,” katanya yang berasal dari Ranau, Sabah.

Bagi memenuhi permintaan produknya yang semakin menggalakkan, Amy kini mempunyai sebuah mini kilang yang sedang hampir siap dibina dan bakal beroperasi sepenuhnya bulan depan.

Buat masa ini katanya, pembuatan setiap produk kaligrafi dilakukan di galeri miliknya dengan ruangan yang terhad hingga menyukarkan meminimumkan usaha memenuhi tempahan pelanggan.

“Semua peralatan mesin bernilai RM10,000 sudah pun berada di mini kilang kami di Kampung Labau, Telipok dan insya-Allah akan beroperasi bulan depan, sekali gus dapat mengembangkan lagi perniagaan saya.

“Justeru, terima kasih kepada AIM kerana banyak membantu hingga saya mampu menjadi usahawan berjaya, sekaligus menjadi inspirasi buat Sahabat AIM lainnya,” katanya yang turut dibantu enam pekerja tetap.

Kepada yang berminat mendapatkan pelbagai jenis produk Munirah Art Gallery, boleh hubungi Amy di talian 018-965 1051 atau datang terus ke Munirah Art Gallery di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI