PETALING JAYA – Setiap individu pasti tidak terkecuali daripada bercakap mengenai perihal orang lain berkaitan pelbagai perkara termasuk rumah tangga.
Menurut penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, perlakuan tersebut merupakan sesuatu yang boleh diterima dan dilakukan kerana hukumnya adalah harus.
“Bagi mereka (yang) suka cakap tentang orang dan benda sia-sia. Dengar baik-baik. Hukum bercerita tentang orang lain dan rumah tangga orang adalah harus, (sebaliknya) yang haram itu mengumpat.
“Contohnya, ‘aku nak khabar ni. Tok imam Masjid Al-Azim ni, dia bangun pagi pukul 5.30 pagi dan pukul 6 pagi dia pergi masjid jadi imam’. Ada tak benda jahat? Jadi ia harus,” katanya dalam sesi ceramahnya baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang hadirin yang bertanya adakah pilihannya tepat untuk makan seorang diri di pejabat tanpa rakan kerana tidak mahu bercakap mengenai orang lain.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, apa yang dilarang dalam Islam adalah untuk bercerita buruk tentang orang lain dan sekiranya baik, ia tidak haram.
“Tapi kita tak nak pula dengar cerita (yang baik). Yang orang nak dengar cerita ‘Tok imam Masjid nikah Janda, baru best cerita’. Itu yang haram.
“Jadi, jika dia (seseorang) tak suka minum ramai-ramai dengan rakan pejabat kerana duduk mengumpat. Awak bagus cuma jangan sampai kita pulaukan terus,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE