DOHA – Penyerang Korea Selatan, Son Heung-min menegaskan, dia sanggup mengambil risiko terhadap kesihatan diri bagi memastikan dia dapat beraksi pada saingan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Terdahulu, pemain Tottenham Hotspur itu dikatakan mungkin terlepas peluang untuk beraksi pada Piala Dunia apabila mengalami kecederaan pada mata kiri ketika menentang Olympique Marseille dalam saingan Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, Heung-min menyuarakan hasrat untuk beraksi pada Piala Dunia dan dia dilihat memakai topeng muka ketika melakukan persiapan menjelang perlawanan sulung Kumpulan H menentang Uruguay, 24 November ini.
“Saya bukan seorang doktor, jadi saya tidak tahu sama ada boleh beraksi pada perlawanan pertama nanti. Bagaimanapun, jika diturunkan, saya sedia berikan segala-galanya buat pasukan.
“Pada pandangan penyokong, mungkin tindakan saya agak keterlaluan tetapi pemain bola sepak sentiasa bermain dengan risiko. Saya sanggup untuk tanggung segala kemungkinan demi penyokong Korea,” katanya.
Dalam pada itu, Heung-min turut memberitahu, dia semakin selesa beraksi dengan topeng muka selain menggesa rakan-rakan sepasukan menampilkan prestasi terbaik dalam semua perlawanan nanti.
“Saya agak terkejut kerana topeng muka ini sangat selesa dan membantu saya bermain seperti biasa. Ini adalah Piala Dunia, semua pasukan akan berikan yang terbaik, jadi saya menyeru rakan-rakan sepasukan supaya bermain demi lencana di dada,” ujar Heung-min. – AGENSI