SIAPA sangka, hobi bermain permainan video tiba-tiba mencipta kontroversi yang tidak masuk akal membabitkan aktres Yeonwoo.
Semuanya berlaku apabila hobi tersebut mencuri perhatian peminat sehinggakan tanpa disangka, namanya dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan aktor terkenal Lee Minho.
Gosip tersebut pantas bertebaran hanya kerana dia berkawan dengan Minho dalam sebuah permainan video.
Bercakap tentang isu tersebut, aktres drama Golden Spoon itu mengakui dia sangat terkejut kerana tidak pernah menyangka dirinya akan terjerat dengan gosip sebegitu.
“Saya tak pernah lalui pengalaman sebegini dan tak pernah sangka pun.
“Macam saya pernah katakan dalam laporan berita sebelum ini, itu semua tidak betul. Pada waktu itu, kepala saya sakit setiap pagi,” kongsinya.
Gosip cinta membabitkan kedua-dua pelakon itu juga pantas dinafikan agensi masing-masing dengan menyatakan hubungan mereka sekadar rakan industri.