PETALING JAYA – Bahang kemuncak Pilihan Raya Umum ke-15 semakin hangat dirasai dan pelbagai pandangan diberikan orang ramai termasuk golongan selebriti.
Antara selebriti berkongsi pandangan ialah pelakon popular, Fizo Omar, 37, yang berpendapat dia lebih berminat dengan pemimpin yang berkempen secara sihat tanpa memburuk-burukkan pihak lain.
“Saya lebih suka pemimpin yang berkempen secara sihat tanpa membuka aib dan memburukkan mana-mana pihak,” katanya dalam Instagram.
Dalam pada itu, dia juga menasihatkan golongan muda cakna dalam memilih calon pemimpin dan parti politik untuk mengemudi negara lima tahun akan datang.
“Ramai yang masih di atas pagar. Siapa begini? Situasi tersebut tidak hairan berlaku kepada mereka yang pertama kali turun mengundi #undi18.
“Kita perlu ambil tahu, tidak seharusnya sampai taksub politik tetapi sekurang-kurangnya undi yang dibuang dapat tentukan kerajaan yang stabil dan kukuh,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kerajaan campuran yang pernah berlaku sebelum ini, dia berkata kestabilan ekonomi tidak mampu dicapai sekiranya terlalu kerap bertukar parti pemerintah.
Tambah pelakon Pengantin Satu Malam itu, pengundi perlu bijak menilai calon dan parti yang mampu memberi kestabilan politik dan sosioekonomi negara.
“Kalau kerajaan gabungan, mungkin episod sama seperti sebelum ini akan berlaku lagi.
“Jika asyik bertukar kerajaan dan Perdana Menteri(PM), bila ekonomi negara dapat capai kestabilan?
“Ini tanggungjawab dan bukan benda boleh buat main-main. Kita sebagai rakyat hendak pilih kerajaan dan PM, bukannya mahu lantik ketua darjah,” ujarnya.
Esok, seramai lebih 21 juta pengundi berdaftar seluruh negara bakal membuang undi bagi menentukan masa depan negara untuk lima tahun akan datang. – KOSMO! ONLINE