LONDON – Sebuah keluarga di Britain menjalani kehidupan harian dalam keadaan bergelap kerana mengamalkan ‘dasar tiada elektrik’ di rumah bagi menjimatkan bil tenaga bulanan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Chavdar Todorov, 53, mengajak ahli keluarganya menjalani gaya hidup sedemikian dengan hanya memasang sistem pemanas sekali seminggu.
Dia menggalakkan isteri dan anak-anaknya memakai jaket atau selimut bagi mengelak daripada kesejukan.
Keluarga itu terpaksa mengubah gaya hidup mereka selepas bil tenaga kediaman tersebut didapati meningkat dua kali ganda menjadi £320 (RM1,732) sebulan.
Disebabkan itu, Chavdar mendapat idea untuk menggunakan lampu kepala agar mereka tidak perlu menggunakan tenaga elektrik.
“Ia bagaikan hidup semasa abad ke-18,” kata Chavdar.
Tambahnya, dia kini berjalan di dalam rumahnya menggunakan lampu kepala tanpa menghidupkan lampu.
“Kami mengurangkan aktiviti menonton televisyen dan hanya menonton sekali sekala,” katanya.
Menurut isterinya, Moda, mereka cuba berfikir positif, namun agak sukar untuk melakukan demikian.
“Kami memadam lampu di rumah dan hanya menggunakan lampu suluh namun, ia agak menakutkan dan saya berasa tidak selamat. Terdapat banyak kes kecurian di kawasan kejiranan kami,” ujarnya. – Agensi