fbpx

Aqeesh Aleeya harap tuah OST drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AQEESH ALEEYA

SUDAH hampir sedekad menempatkan diri dalam industri seni tanah air, hakikatnya permulaan karier nyanyian, Aqeesh Aleeya boleh dikatakan baru hendak bermula.

Selepas sekian lama menunggu, akhirnya pucuk muda disapa Aqeesh itu mampu menarik nafas lega apabila dapat meluncurkan karya terkini berjudul Retak yang merupakan single ketiganya.

Penyanyi yang memulakan rentak dalam bidang nyanyian dengan menyertai pertandingan Bintang Kecil pada usia sembilan tahun itu sekali pun tidak pernah berdepan perasaan putus asa.

Sebaliknya, penyanyi yang pernah menjuarai pertandingan Bakat Ohsen Malaysia (BOM) pada 2017 dan terkini, Terpaling Juara (TV3) bawah bimbingan Akim Ahmad menjadikan pengalaman tersebut sebagai batu loncatan untuk terus berjuang.

“Biarpun agak lambat untuk sampai ke tahap ini, saya anggap semua itu tentang usia dan rezeki.

“Saya banyak menyertai pertandingan. Ada menang dan kalah. Itu semua rezeki dan saya ambil sebagai penguat semangat untuk terus bertahan,” katanya.

Peralihan genre

Seiring usia, pemilik nama lengkap Nur Balqis Aleeya Shahrom itu mula meneroka kepelbagaian genre muzik apabila menyanyikan lagu berentak balada ‘berat’ dalam Retak.

Jauh berbeza berbanding dua single terdahulu, Retak disifatkan Aqeesh sebagai sebuah lagu yang mempunyai keunikan tersendiri.

“Dari awal mendengar demo, saya terus jatuh cinta. Ini merupakan single pertama saya dengan genre sebegini,” katanya.

Retak yang merupakan ciptaan komposer Firdaus Rahmat dan lirik ditulis bersama oleh Arisz Ab. Rahman menjadi runut bunyi (OST) untuk drama Rindu Kasih terbitan P&D Pictures Sdn. Bhd.

Naskhah 15 episod yang dibintangi barisan pelakon hebat seperti Ummi Nazeera, Amyza Aznan, Izzue Islam, Nafiez Muaz dan Ezzaty Abdullah tersebut mula bersiaran pada 16 November lalu menerusi slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.

Bercakap tentang persaingan dalam kalangan artis baharu yang diibaratkan bak cendawan tumbuh selepas hujan, penyanyi berusia 18 tahun itu ada pandangan tersendiri.

Anak kelahiran Selangor itu percaya, setiap penyanyi mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

“Saya tak berpegang kepada konsep bersaing. Saya rasa kami cuma nak memeriahkan industri dengan cara masing-masing,” katanya yang meletakkan sepenuh harapan agar drama Rindu Kasih dapat dapat membantu penerimaan Retak sekali gus menempatkan nama di bibir peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI