GAZA – Satu kebakaran besar memusnahkan sebuah kediaman di utara Bandar Gaza di mana bekalan bahan api disimpan, menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terkorban semalam termasuk tujuh kanak-kanak, kata sumber pihak berkuasa dan perubatan.
Kerajaan Hamas berkata, anggota-anggota bomba berjaya mengawal kebakaran itu yang berlaku di kem pelarian Jabalia. Api marak mengakibatkan dinding-dinding hangus dan meninggalkan jelaga hitam sebelum berjaya dipadamkan.
Wilayah Semenanjung Gaza yang dikepung Israel dikuasai oleh Hamas.
Unit pertahanan awam Gaza dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa 21 orang terbunuh.
Ketua Hospital Indonesia di Jabalia, Saleh Abu Laila memberitahu, fasiliti itu menerima mayat sekurang-kurangnya tujuh kanak-kanak.
Walaupun punca kebakaran masih belum diketahui, jurucakap unit pertahanan awam berkata, terdapat bekalan bahan api disimpan di rumah tersebut.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmud Abbas yang beribu pejabat di wilayah Tebing Barat, menganggap kebakaran itu sebagai ‘tragedi negara’, demikian menurut seorang jurucakap beliau.
Mahmoud mengisytiharkan hari berkabung hari ini dengan bendera berkibar separuh tiang dan menawarkan penghantaran bantuan kepada waris-waris mangsa bagi ‘meringankan penderitaan mereka’, kata jurucakapnya, Nabil Abu Rudeineh dalam satu kenyataan.
Pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin (PA), Hussein Al Sheikh pula menggesa Israel supaya membuka Lintasan Sempadan Erez yang menghubungkan Semenanjung Gaza dan selatan Israel.
Permintaan itu bagi membolehkan pesakit yang cedera parah dibawa bagi menerima rawatan di luar Semenanjung Gaza jika perlu’, kata Hussein.
Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz memuat naik kenyataan di Twitter yang memaklumkan bahawa kakitangannya akan membantu operasi ‘pemindahan mereka yang cedera ke hospital (Israel) sambil menyatakan simpati berhubung ‘bencana serius’ itu di Gaza. – AFP