PETALING JAYA – Hasrat perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia untuk beraksi pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand bulan depan berkecai selepas tersingkir daripada Terbuka Australia hari ini.
Dia yang juga pemain No.2 dunia tersingkir di pusingan kedua apabila terpaksa akur dengan kekalahan 22-20, 15-21, 16-21 kepada pemain China, Lu Guang Zu dalam aksi yang memakan masa lebih sejam.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan peluang Zii Jia untuk beraksi pada kejohanan tersebut tertutup memandangkan dia kini menghuni tangga kesembilan dalam ranking Jelajah Dunia musim ini.
Mengikut peraturan yang ditetapkan, mana-mana pemain perlu berada dalam kelompok lapan teratas saingan Jelajah Dunia untuk melayakkan diri ke kejohanan di Bangkok nanti.
Berdasarkan kedudukan semasa, hanya Pearly Tan-M. Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien (beregu wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Lai Pei Jing (beregu campuran) berpeluang melangkah ke Jelajah Dunia Akhir.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir Terbuka Australia selepas menang 21-16, 19-21, 21-5 ke atas wakil Korea Selatan, Heo Kwang Hee.
Pemain No.1 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu memerlukan keputusan positif pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 tersebut bagi mencerahkan peluang untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.
Perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei turut menempah tempat di pentas suku akhir selepas menewaskan pemain India, Anwesha Gowda menerusi aksi straight set 21-7, 21-13.- KOSMO! ONLINE