PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya mendapat tonik terbaik bagi mengharungi kempen Piala AFF 2022 dan Piala Asia 2023 selepas melancarkan jersi terbaharu daripada Nike bertemakan ‘Demi Lencana Di Dada’ bagi saingan musim 2022 hingga 2024.
Jersi utama atau jersi ‘home’ edisi kali ini kekal menggunakan warna kuning sebagai warna dominan dengan hanya bahagian kolar bulatnya berwarna hitam manakala jersi kedua atau jersi ‘away’ juga terus dikekalkan warna hitam sebagai warna dominan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jersi ‘home’ kali ini memang reka bentuknya akan dinilai oleh peminat bola sepak negara sebagai terlalu ringkas, namun ia sebenarnya membawa maksudnya yang tersendiri.
“Kalau jersi ‘home’ kita sebelum ini berkolar dan mempunyai sedikit warna hitam di lengan dan bahagian sisi, jersi ‘home’ kali ini tampil lebih unik sebenarnya apabila keseluruhan jersi berwarna kuning dan hanya di bahagian kolar bulatnya sahaja berwarna hitam.
“Inilah sebenarnya naratif yang cuba disampaikan iaitu segala fokus pada jersi ‘home’ kali ini bukan kepada corak atau reka bentuknya tetapi tertumpu kepada sifat eksklusif logo FAM itu sendiri untuk membawa mesej mereka bermain ‘Demi Lencana Di Dada’, katanya pada majlis pelancaran jersi baharu Petaling Jaya sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Hamidin melihat jersi ‘away’ pula sama seperti edisi lepas apabila warna hitam sebagai warna dominan mula diperkenalkan dan ia dikekalkan untuk dua tahun akan datang.
“Semoga dengan jersi baharu ini, ia akan memberikan semangat baharu kepada para pemain Harimau Malaya apabila mereka beraksi di pentas Piala AFF 2022 pada Disember ini, seterusnya pada Piala Asia 2023 di Qatar.
“Begitu juga bagi perlawanan-perlawanan antarabangsa lain, termasuk juga untuk pasukan-pasukan kebangsaan yang lain iaitu pasukan wanita, remaja, futsal dan juga bola sepak pantai.
“Terima kasih kepada Nike yang tetap setia bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 15 tahun ini yang mana sudah tentu jersi edisi 2022-2024 ini akan tinggi nilainya kerana ia bakal beraksi di pentas Piala Asia 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE