fbpx

PRU15: Wanita dalam idah boleh keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Wanita yang berada dalam tempoh idah dibolehkan keluar mengundi dan hukumnya harus dengan syarat parameter yang wajib dipatuhi.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, wanita yang berada dalam tempoh idah perlu mematuhi beberapa syarat seperti menjaga penampilan dan adab dalam berkabung.

“Wanita tersebut juga perlu menjauhi perkara-perkara yang mengundang fitnah, mengelakkan berhias dengan memakai gelang atau rantai, tidak memakai wangian dan menghias wajah secara berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Irsyad (panduan) Hukum Bil.32 JPNPk yang disiarkan di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Wan Zahidi berkata, ia berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebut suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.

“Wanita berkenaan dikehendaki menyelesaikan segala keperluan urusan mengundi dengan kadar segera. Dia juga tidak boleh sengaja melewat-lewatkan urusan berkenaan serta perlu berada dan bermalam di rumahnya,” katanya.

Menurutnya, proses mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan suatu kewajipan yang perlu dilakukan sendiri tanpa boleh diwakili pihak lain.

“Ia termasuk dalam kategori wajib mudayyaq iaitu kewajipan yang mesti dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan oleh kerana tempoh mengundi adalah terhad dengan tempoh masa yang ditentukan dan tidak boleh ditangguhkan pada masa lain.

“Maka Jabatan Mufti Negeri Perak berpandangan harus hukumnya bagi wanita yang dalam idah keluar mengundi dengan mematuhi beberapa dhowabit (parameter),” katanya.

Sebelum ini, pada 7 November lalu, Mufti Perlis, Mohd. Asri Zainul Abidin berkata wanita yang menjadi calon pada pilihan raya umum (PRU) tetapi berada dalam tempoh idah susulan kematian suami tidak boleh keluar untuk berkempen.

Menurutnya, mereka wajib berada dalam idah selama empat bulan 10 hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI