KUALA KANGSAR – Dakwaan sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) merosot sejak enam bulan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah propaganda semata-mata.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dakwaan itu merupakan propaganda pihak yang mengatakan kononnya semua agensi penarafan meletakkan BN akan kalah.
“Saya pun baca, itu adalah propaganda pihak lawan. Bila saya nampak ‘Bukit Aman’ saya yakin ini satu penipuan.
“Bukit Aman tidak akan bocornya maklumat kepada sesiapa pun. Jadi, kalau itu satu sumber yang tak sah, yang lain semua bohong belaka,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurutnya, ini adalah propaganda pihak lawan untuk melemahkan semangat jentera parti BN.
“Penyokong BN, jangan pula memanjangkan propaganda tersebut. Tidak mungkin berlaku seperti itu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kajian ringkas oleh Merdeka Centre for Opinion Research mendapati sokongan pengundi Melayu kepada BN pada hujung Oktober hanya 32 peratus berbanding 40 peratus pada Mei.
Sokongan pengundi Melayu kepada BN sebelumnya berkurangan sebanyak empat peratus kepada 36 peratus pada hujung Julai tetapi naik kepada 37 peratus pada hujung September sebelum mencatat penurunan lima peratus semasa kajian terkini hujung Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE