ARAU – Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim terus optimis mampu mengekalkan kerusi tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berbaki dua hari lagi.
Shahidan yang bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) selepas namanya digugurkan daripada senarai calon BN turut membayangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri ini akan tumbang buat kali pertama.
“Kita bukan sahaja yakin mengekalkan kerusi ini, malah tiga atau empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Arau akan beralih sokongan kepada PN.
“Selain beberapa DUN BN di Arau akan tumbang, kita yakin menang tiga DUN di Kangar dan dua (DUN) di Padang Besar sekali gus mempunyai jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shahidan turut merancang ‘serangan’ khusus untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man di DUN Bintong serta terus membantu jelajah kempen PN di seluruh negeri.
Sementara itu, bagi penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menerima nasib sama dan bertanding atas tiket bebas berkata, beliau menjangkakan Shahidan akan terus mengekalkan kemenangan di Arau.
“Bagi Parlimen Padang Besar, keadaannya masih lagi 50-50 untuk BN mengekalkan kerusi tersebut kerana mereka meletakkan Datuk Zahida Zarik Khan yang bukannya pilihan akar umbi di sini.
“Jangkaan tersebut berdasarkan kajian dan pengalaman melihat situasi semasa selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi menggugurkan calon boleh menang dan akar umbi menolak tindakan itu,” jelasnya.
Tambahnya, beliau menjangkakan BN akan kehilangan sembilan kerusi DUN termasuk di Titi Tinggi yang ditandingi beliau dan seorang lagi bekas pemimpin UMNO Bahagian Kangar, Datuk Azahar Ahmad (Kuala Perlis) atas tiket bebas.
Baru-baru ini, Zahidi bersama tiga lagi calon bebas iaitu Azahar, Datuk Hashim Suboh (Bintong) dan Dr. Ammar Hassan (Simpang Empat) menubuhkan ‘pakatan bebas’ di Perlis dalam usaha memenangi PRU15. – KOSMO! ONLINE