BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai ratusan jemaah di Masjid Darul Fikri Daerah Bera di sini bagi menunaikan solat hajat perdana.
Beliau yang berbaju kurta berwarna biru tiba di Masjid Darul Fikri kira-kira pukul 8.14 malam sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Darul Fikri, Ahmad Hakim Samsudin.
Dalam doa yang dibacakan Ahmad Hakim, memohon agar negara dalam suasana sejahtera untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain mengeratkan hubungan silaturahim
seluruh Keluarga Malaysia.
Juga disebut dalam bacaan doa itu, supaya rakyat Malaysia bersatu hati dengan semangat keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam membina negara ke arah kestabilan dan kemakmuran nusa tercinta.
Selain itu, jemaah turut mengaminkan doa yang memohon rakyat Malaysia dijauhkan dari perbalahan, persengketaan dan perpecahan akibat perbezaan fahaman politik, yang memusnahkan silaturahim dan keharmonian Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan bangsa.
Sesudah menunaikan solat, Perdana Menteri kemudiannya menikmati hidangan bersama para jemaah sebelum ke program seterusnya.-KOSMO! ONLINE