PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan jaminan kepada masyarakat bahawa suasana selamat dan lancar sepanjang berlangsungnya hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelbagai elemen telah digerakkan dan seluruh anggota berada ditahap siap siaga bagi memastikan kelancaran hari mengundi terjamin.
“Setakat ini, proses penamaan calon telah berjalan lancar walaupun terkesan beberapa insiden terpencil yang berjaya ditangani dengan baik.
“Dalam tempoh berkempen pula, keadaan keselamatan adalah terkawal tanpa berlaku sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau komited bahawa proses pembuangan undi akan berlangsung dengan lancar dan semua masyarakat akan dipastikan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam suasana selamat.
Jelas beliau, orang ramai dinasihat agar tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan atau ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“PDRM akan memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan pilihanraya kali ini berkalan dengan aman dan tenteram.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE.