fbpx

PRU15: BN diyakini menang 50 kerusi Parlimen di Felda – GWGF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rozali Ismail (tiga dari kanan) bersama Nazri Ngah (dua dari kanan) dan Zukarmi Abu Bakar (dua dari kiri) di Felda Jengka 12, Jerantut hari ini.

JERANTUT – Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yakin Barisan Nasional (BN) mampu menang 50 kerusi daripada 54 Parlimen kawasan Felda seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15).

Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada sentimen semasa serta sambutan terhadap calon BN semasa berkempen yang semakin meningkat.

“Pada PRU14, BN hanya menang 27 kerusi Parlimen, merosot berbanding 48 kerusi daripada 54 diperoleh pada PRU13. Kita yakin pada PRU15 ini peneroka kembali memberikan sokongan padu kepada BN.

“Kehadiran saya di setiap rancangan Felda seluruh negara jelas mendapati trend sokongan terhadap calon BN di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ( DUN) meningkat hasil kempen yang menjelaskan wawasan sebenar negara selepas menang PRU15.

“Warga Felda yang terdiri daripada generasi pertama,  kedua dan ketiga termasuk kalangan pengundi baharu perlu memberi undi kepada calon BN yang menjadi sandaran bagi kita sebagai anak Felda,” katanya selepas melancarkan Kelab Permotoran Storm Rider Junior Peringkat Negeri Pahang di Felda Jengka 12 di sini hari ini .

Rozali menambah, GWGF yakin BN mendapat jumlah kerusi yang selesa bagi membentuk kerajaan sendiri tanpa gabungan dengan parti lain.

Katanya, apabila kerajaan baharu dibentuk bermakna BN dominan sekali gus memudahkan semua agenda pembangunan yang dirangka dapat membela kebajikan peneroka Felda di seluruh negara.

“GWGF mengambil ketetapan  terus menyokong BN dalam PRU15 ini setelah mengambil kira rekod buruk selama 22 bulan ditempuh semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah banyak menyusahkan rakyat khususnya masyarakat peneroka.

“Warga Felda pula jangan mudah lupa bahawa BN yang banyak berjasa dari dahulu sehingga ini dan tidak perlu terpengaruh beberapa isu (Felda) yang dicetuskan oleh segelintir cuba memfitnah untuk meraih kepentingan peribadi dan politik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI