MELAKA – Seorang peniaga pasar malam didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah menyebarkan gambar lucah rakan wanitanya dalam kumpulan WhatsApp, lima tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Azrin A. Hamid, 44, yang mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya iaitu gambar dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 8.27 malam dan 8.59 malam pada 25 Julai 2017.
Kedua-dua kandungan itu telah dilihat oleh pengadu pada 25 Julai pada pukul 8.30 malam dan 26 Julai 2017 pukul 1.38 petang di sebuah rumah di Serkam Darat, dalam daerah Jasin.
Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui portal dalam talian pada 2 Oktober 2017 selepas menerima hantaran lucah daripada pengadu yang turut disebarkan dalam satu kumpulan WhatsApp.
Pengadu berasa sakit hati dan malu kerana kandungan berunsurkan lucah tersebut adalah gambar-gambarnya yang disebarkan tertuduh.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai peniaga di pasar malam, selain menanggung isteri serta kakak ipar yang merupakan orang kelainan upaya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SKMM Nur Nazhzilah Mohammad Hashim bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pencegahan diberikan dengan mengambil kira perbuatan tertuduh adalah serius dan mengaibkan mangsa serta keluarga.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE