fbpx

Misil buatan Russia meletup di Poland, Warsaw cemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH kawah dilihat berhampiran Kampung Przewodow di Poland akibat bedilan peluru berpandu. - FACEBOOK

WARSAW – Poland meletakkan tenteranya dalam keadaan siap siaga sepenuhnya kelmarin selepas Presiden Andrzej Duda mengesahkan tentang ‘kemungkinan besar’ serangan oleh pe­luru berpandu buatan Russia. 

Pemimpin-pemimpin turut Barat bergegas untuk bertindak berhubung insiden itu yang be­risiko memburukkan lagi perang di Ukraine. Mereka mengadakan satu mesyuarat tergempar semalam sebagai acara sampingan sidang kemuncak negara-negara Kumpulan 20 (G20) di Indonesia.  

Warsaw berkata, peluru berpandu itu membunuh dua orang di Kampung Przewodow tetapi pihaknya tidak mempunyai bukti kukuh tentang siapa yang me­lancarkannya sambil menambah, duta Moscow telah dipanggil untuk ‘memberikan penjelasan segera dan terperinci’.

Duda berkata, Poland mening­katkan kesiapsiagaan tentera selepas majlis keselamatan nasional mengadakan mesyuarat tergemparnya.

“Terdapat keputusan untuk meningkatkan tahap siap siaga beberapa unit tempur dan perkhidmatan beruniform lain,” kata jurucakap kerajaan, Piotr Muller kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Warsaw.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Presiden Joe Biden bercakap melalui telefon dengan Duda dan menawarkan sokongan penuh Amerika Syarikat serta bantuan kepada siasatan Poland, kata White House.

“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju berhubung rapat untuk membincangkan langkah seterusnya sementara insiden tersebut terus disiasat,” tambah kenyataan sama.

Pemimpin negara-negara Per­tubuhan Perjanjian Atlantik Utara­ (NATO) terutamanya Perdana Menteri Britain (Rishi Sunak), Canselor Jerman (Olaf Scholz) dan Presiden Perancis  (Emmanuel Macron), semuanya menzahirkan solidariti bersama Poland.

Poland dilindungi oleh pertahanan bersama NATO seperti termaktub dalam Artikel 5 perlembagaannya, namun tindak balas NATO bergantung kepada sama ada insiden di Poland itu tidak disengajakan atau sebaliknya. 

Dalam perkembangan terbaharu, Biden berkata, misil yang jatuh di Poland itu berkemung­kinan tidak dilancarkan dari Russia kerana trajektorinya.

“Terdapat maklumat awal yang menolak misil itu dilancarkan dari Russia. Saya enggan memberikan butiran lanjut sehingga siasatan selesai. Namun, faktor trajektori menolak dakwaan misil itu dilancarkan dari Russia. Kita akan tengok nanti,” kata Biden. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI