KUALA TERENGGANU – Perbuatan keji seorang pemandu lori tergamak merogol anak tiri berusia 11 tahun menerima balasan setimpal apabila dihukum penjara 19 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nooriah Osman turut memberi memerintahkan tertuduh berusia 30 tahun dikenakan 20 sebatan apabila mengaku bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya.
Berdasar pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun di sebuah rumah di daerah Marang pada pukul 3 pagi pada bulan Oktober 2021.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan keji itu di lokasi sama pada pukul 3 pagi, bulan lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Sebaik pengakuan bersalah direkodkan, tertuduh dikenakan hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan pertama manakala lapan tahun penjara 10 sebata untuk kesalahan kedua.
Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman secara berasingan bermula tarikh ditangkap iaitu 12 November tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE