PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dilaporkan perlahan sejak awal petang tadi.
Ia susulan warga kota mula pulang ke kampung untuk proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 pada Sabtu ini.
Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menerusi perkongsian di Facebook rasminya memaklumkan, trafik mulai meningkat dan perlahan ekoran pertambahan kereta di lokasi arah Timur Bentong.
“Trafik sesak sebelum masuk Plaza Tol Gombak, 12 km selepas Gombak ke Terowong Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Lentang.
“Beralih ke trafik LPT2, trafik sesak bermula dari arah Utara, sebelum keluar Plaza Tol Kuala Terengganu,” kata LLM.
Sehubungan itu, pihak LLM menasihati orang awam agar memandu secara berhemah dan berhati-hati di jalan raya. -KOSMO! ONLINE.