PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan satu tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp yang dikaitkan dengan dirinya dan tular di media sosial sejak malam tadi.
Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitternya tadi berkata, laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dibuat terhadap akaun yang memuat naik tangkap layar tersebut.
“Fake (Palsu). Tak perlu sebar fitnah black ops, “source: trust me bro” (sumber tidak jelas) macam ini.
“Laporan polis dan SKMM akan dibuat termasuk terhadap akaun Dr. Bigger balls ini,” ciapnya tadi.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin turut menyeru agar orang ramai menolak fitnah dan taktik politik kotor menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung Sabtu ini.
Terdahulu, tangkap layar tersebut mula tersebar dan didakwa ia merupakan perbualan antara calon Barisan Nasional di Parlimen Sungai Buloh itu bersama salah seorang pegawainya.
Tangkap layar tersebut mengandungi arahan kononnya dari Khairy Jamaluddin yang mengarahkan individu terbabit untuk ‘menghapuskan’ Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan di Parlimen Rembau. – KOSMO! ONLINE