fbpx

Kemahiran keibubapaan tingkat prestasi anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebolehan berkomunikasi dengan cara yang baik akan dapat mengeratkan hubungan kepercayaan antara ibu bapa dan anak-anak. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kemahiran keibubapaan dan gaya asuhan yang tepat dilihat mampu memberi penyelesaian secara menyeluruh khususnya dalam mendidik anak-anak dengan sempurna.

Peranan ibu bapa ternyata amat penting, namun perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan ilmu asas bagi mengelakkan kegagalan memahami keperluan anak-anak.

Menurut Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan (KPM), Azizurahman Samian, terdapat tujuh peranan penting yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam meningkatkan prestasi anak-anak.

Kata beliau, antaranya adalah dengan menggunakan pendekatan psikologi seperti kemahiran melayan dan menerima keunikan personaliti anak yang berbeza-beza.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan keperluan asas dan motivasi.

“Namun, ibu bapa dinasihatkan agar tidak memberi gelaran negatif kepada anak-anak sebaliknya memberikan keyakinan kepada mereka.

“Perkara yang paling penting pula adalah disiplin, yang mana ibu bapa perlu menetapkan peraturan belajar untuk anak-anak patuhi di rumah.

“Misalnya, berhenti menonton televisyen selepas beberapa jam dan memperuntukkan masa yang lebih untuk mengulang kaji khususnya untuk subjek-subjek yang mereka lemah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azizurahman berkata, ibu bapa juga perlu sabar dalam proses mendidik anak dan mengakui bahawa setiap anak mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing.

“Hubungan yang baik antara guru di sekolah juga harus dipupuk bagi mengikuti perkembangan prestasi anak-anak.

“Anak-anak juga perlu diberikan makanan yang berkhasiat supaya kesihatan minda mereka tidak dipengaruhi.

“Sediakanlah makanan yang segar dan bersih supaya kesihatan anak-anak dapat dijaga.

“Dengan badan yang sihat, otak yang cergas, anak-anak dapat menumpukan perhatian yang lebih dalam pelajaran,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling KPM, Rosli Suyot berkata, antara ciri-ciri yang harus dimiliki oleh ibu bapa adalah sikap authoritative (berwibawa).

Kata beliau, ciri tersebut menggariskan beberapa perkara antaranya tegas, mengawal keadaan, sentiasa mendengar pandangan dan boleh bertolak ansur.

“Anak-anak juga perlu dididik dalam suasana penuh kemesraanbagi membolehkan mereka berkelakuan intelektual seiring dengan umur dan sosial mereka.

“Bagaimanapun, ibu bapa perlu mengelak daripada mengamalkan ciri -ciri sebaliknya seperti mengabaikan anak-anak apabila mereka hanya sibuk dengan kehidupan dan tugas kerja harian.

“Selain itu, memanjakan anak dengan menurut segala keperluan dan kemahuan mereka juga tidak disarankan termasuk mengongkong dan tidak boleh bertolak ansur,” katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, dengan kemahiran yang tepat, ia dapat mendorong ibu bapa untuk berinteraksi secara positif di samping menyemai emosi yang bersesuaian serta bertanggungjawab.

Jelasnya, perkara itu dapat membantu anak-anak mengawal diri dengan menetapkan batasan dan peraturan rumah sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa perlu mempunyai kemahiran mendengar yang baik berikutan ia merupakan suatu asas yang penting dalam psikologi bagi memastikan kesejahteraan anak dan keluarga.

“Komunikasi merupakan perkara penting yang menjadi pengikat hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak.

“Kebolehan dan keupayaan berkomunikasi secara berkesan dapat membantu meningkatkan jati diri, mengukuhkan kepercayaan dalam hubungan, memperkuatkan semangat dan daya saing selain mengeratkan hubungan antara rakan-rakan.

“Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan kepercayaan, penghormatan dan kekaguman orang lain terhadap individu tersebut,” ujarnya.

Rosli berkata, untuk membina ‘jambatan rasa’ di antara anak-anak dan ibu bapa, perlakuan menyatakan sayang, adalah antara resipi berkesan yang perlu diamalkan.

 

“Ibu bapa perlu berbual dengan anak-anak dan berbincang secara terbuka serta jadikan mereka seperti kawan baik dengan melayani kerenah dan bukannya memerintah.

“Dalam memastikan keberkesanan komunikasi antara kedua-dua belah pihak, terdapat empat aspek penting yang menjadi kayu ukur iaitu mendengar, bercakap, berfikir dan komunikasi bukan lisan,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, kaedah mendengar secara aktif dengan penuh penghayatan menjadikan ibu bapa turut rasa dihargai apabila anak-anak berkongsi pengalaman mereka.

Ujarnya, kemahiran tersebut perlu dipelajari oleh ibu bapa kerana sebanyak 60 peratus masalah dalam komunikasi adalah berpunca daripada kegagalan ‘mendengar’.

“Aktiviti mendengar sering disalah erti dan dianggap sekadar mendengar tanpa memahami serta merasai perasaan orang yang sedang bercakap.

“Sebaliknya, kaedah mendengar adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari. Ia melibatkan proses memahami apa yang didengar dan dalam masa yang sama, cuba merasai situasi penyampai tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ibu bapa muda tertekan melayani anak-anak, Rosli berkata, terdapat beberapa alternatif yang boleh diamalkan bagi mengurangkan perkara terbabit.

“Antaranya adalah dengan bertenang, beribadat, berurut, bersenam serta berfikiran positif.

“Dengan cara ini, kesan fizikal stres seperti denyutan jantung, perasaan marah, rasa gelisah, gementar, sakit kepala dan sebagainya yang disebabkan oleh tindak balas hormon adrenalin terhadap tubuh akan dapat dikurangkan.

“Pasangan juga digalakkan bercakap dengan ahli keluarga atau kawan rapat yang dipercayai. Luahkanlah dan kongsi perasaan bersama mereka,” ujarnya.

Sementara itu, daripada aspek psikologi, Rosli mendedahkan bahawa masalah anak-anak tidak mahu ke sekolah juga sering terjadi membuatkan ibu bapa selalunya buntu dan mengabaikan masalah tersebut.

Menurutnya, ibu bapa perlu mencari punca perlakuan itu selain mendapatkan pola kelakuan anak-anak di sekolah.

“Ada empat sebab utama anak tidak mahu ke sekolah antaranya untuk elakkan emosi, situasi, mendapatkan perhatian dan untuk melakukan aktiviti tertentu.

“Ibu bapa boleh berjumpa dengan guru selain berkomunikasi dengan anak-anak. Sekiranya anak murid mempunyai masalah pembelajaran, pastikan mereka mendapat bantuan untuk masalah terbabit,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI