fbpx

Jualan Murah Keluarga Peladang laris 40 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Rahman (tengah) menunjukkan barangan yang dijual pada program itu di Kampung Nelayan, Sungai Besar, Sabak Bernam, hari ini.

SABAK BERNAM – Program Jualan Murah Keluarga Peladang di Kampung Nelayan, Sungai Besar di sini, mendapat sambutan luar biasa apabila barangan habis dijual dalam tempoh hanya 40 minit, hari ini.

Program anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor itu melibatkan jualan 600 ayam, minyak masak dan beras, bermula pukul 9 pagi.

Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Abd. Rahman Bakri berkata, objektif utama pihaknya bertujuan membantu rakyat terutama golongan B40 membeli barangan keperluan itu dengan harga murah.

“Kita menawarkan harga jualan antara 20 hingga 30 peratus jauh lebih murah berbanding pasaran sedia ada.

“Inisiatif itu sekali gus membantu mengurangkan beban penduduk yang berdepan ekonomi tidak menentu ketika ini,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Menurut beliau, program itu turut dijalankan di satu lokasi lain di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya.

“Harga seekor ayam dijual dengan harga RM8 manakala RM6 bagi beras lima kilogram (kg).

“Selain itu, minyak masak dua kg hanya berharga RM13 sebotol dan RM25 bagi lima  kg,” ujarnya.

Tambah Abd Rahman, program jualan harga murah seumpama itu sudah dilaksanakan dengan bantuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebelum ini melibatkan 22 kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dan Sungai Air Tawar. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI