WASHINGTON – Israel semalam menuduh Iran melancarkan serangan dron ke atas sebuah kapal tangki di perairan Oman dengan seorang pegawai menyifatkannya sebagai ‘provokasi Iran di Teluk’ berkaitan dengan Piala Dunia di Qatar, lapor stesen penyiaran CNN.
Dron ‘kamikaze’ itu menyerang kapal tangki mempunyai kaitan dengan Israel dan mengibarkan bendera Liberia, Pacific Zircon sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan), Isnin lalu tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar, kata seorang pegawai tentera.
“Dron itu tidak menjejaskan perjalanan kapal berkenaan,” katanya.
Seorang pegawai Israel berkata, senjata yang digunakan ialah dron pemusnah Iran jenis HESA Shahed 136 yang turut digunakan di Ukraine.
Iran membekalkan dron pemusnah itu kepada Russia untuk digunakan dalam perang Ukraine dalam perkembangan yang menunjukkan kemajuan teknologi dron serangan buatan Teheran.
“Kami melihat serangan ini sebagai provokasi Iran di Teluk dan bukan serangan ke atas Israel. Ia perkara serupa yang mereka (Iran) biasa lakukan di Teluk iaitu cuba menggugat kestabilan dan mempengaruhi acara Piala Dunia,” kata pegawai terbabit yang enggan identitinya didedahkan kerana isu tersebut dianggap sensitif.
Senjata dan sasaran berkenaan menyerupai corak serangan yang dikaitkan dengan Iran pada masa lalu. Pada 30 Julai 2021, satu serangan dron bersenjata ke atas sebuah kapal kargo bernama Mercer Street di perairan Oman menyebabkan dua orang terbunuh.
Pacific Zircon dikendalikan oleh firma Eastern Pacific Shipping yang berpangkalan di Singapura. Firma berkenaan adalah milik bilionair Israel, Idan Ofer. – Agensi