LONDON – Pemilik bersama kelab bola sepak Liga Bola Sepak Major Amerika Syarikat, Inter Miami, David Beckham dilaporkan sudah memulakan gerak untuk membawa Cristiano Ronaldo menyertai pasukan itu.
Ronaldo mencetuskan kontroversi hangat apabila mengkritik hebat kelabnya, Manchester United dan pengurusnya, Erik Ten Hag dalam satu rancangan sekali gus menyaksikan masa depannya seakan sudah berakhir di Old Trafford.
Situasi itu menyebabkan Beckham cuba mengambil kesempatan memulakan rundingan bersama wakil Ronaldo untuk melihat potensi perpindahannya.
Laporan menyebut, Beckham menerima respons yang positif mengenai rundingan tersebut apabila Ronaldo berminat dan tidak menolak peluang untuk memulakan kariernya di Miami.
Sebelum ini, Inter Miami dikatakan berusaha keras untuk mendapatkan khidmat seteru Ronaldo, Lionel Messi untuk dibawa menyertai pasukan itu, namun perkembangan yang berlaku terhadap kapten Portugal itu menyebabkan mereka mengalihkan sedikit tumpuan.
Selain Inter Miami, perkembangan mengenai karier Ronaldo juga telah menarik minat beberapa lagi pasukan di MLS seperti LA Galaxy dan Los Angeles FC untuk turut mengintai peluang mendapatkan khidmatnya.
Selepas beberapa kali cuba untuk meninggalkan Old Trafford, tawaran daripada Inter Miami dianggap paling terbaik buat Ronaldo ketika ini biarpun dia terpaksa melupakan bola sepak Eropah demi meneruskan impiannya kekal beraksi di padang.
Ketika penyerang utama Inter Miami, Gonzalo Higuain bakal bersara pada penghujung musim ini, kehadiran Ronaldo dianggap tepat untuk memastikan jentera serangan pasukan itu terus menyengat. – AGENSI