fbpx

Ibu tunggal ubah nasib keluarga dengan menjual manik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Doris menunjukkan produk manik hasil kreativitinya untuk dijual kepada pelanggan di pasaran terbuka.

MIRI- Doris Ubong Adin, 49, seorang ibu tunggal yang berasal dari Miri telah mengusahakan perniagaan menjual manik dan perhiasan pakaian tradisional orang Ulu dan Dayak secara kecil-kecilan sejak 2017.

Berniaga terus dari kediamannya yang disewa bersama anak-anaknya sejak tahun 2011, Doris tidak pernah terfikir untuk menjalankan perniagaan menjual manik dan perhiasan tradisional.

Titik kehidupan wanita berbangsa Orang Ulu ini berubah serta-merta sejak kematian suaminya pada tahun 2017.

Dari seorang suri rumah tangga sepenuh masa, Doris kini menggalas tangungjawab tunggal mencari rezeki bagi menyara empat anaknya yang ketika itu masih kecil.

“Apabila suami meninggal, pada waktu itu saya seperti hilang arah kerana tidak mempunyai pekerjaan, namun saya sedar saya perlu bangun dari kesedihan ini,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Bermula daripada minat terhadap pembuatan manik-manik tradisional, Doris mula membuat sendiri perhiasan tersebut, sehingga berjaya menjualnya secara kecil-kecilan kepada kenalannya.

Namun, kekangan modal menjadikan hasrat ibu tunggal ini untuk mengembangkan minatnya itu sedikit terbantut.

Mujur, salah seorang rakan karibnya memperkenalkannya dengan tawaran pembiayaan kewangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Miri.

“Saya cuba memohon dan berjaya mendapatkan pembiayaan kewangan sebanyak RM2,000 sebagai modal permulaan untuk saya membeli barangan bagi menghasilkan aksesori baju Orang Ulu dan Iban,” katanya.

Antara aksesori yang dihasilkan Doris bersama anak-anaknya adalah seperti Tangu/ Marik Empang; Tenggak buah bemban; rantai Kabo (rantai lelaki Orang Uluu); rantai tradisional Orang ulu; hiasan kepala lelaki Orang Ulu dan wanitanya.

Terbaharu, produk yang mula mendapat perhatian pelanggannya adalah anting-anting viral yang dijual pada harga sekitar RM20 ke RM30 sepasang.

“Idea menghasilkan anting-anting viral ini tercetus daripada anak bongsu saya , Alissa, 18, tahun, kami sama-sama mereka bentuk anting-anting tersebut seakan-akan ‘mini Tanggu’ tak sangka, ia mendapat sambutan hangat,” jelasnya.

Selari dengan trend terkini, Doris turut menggunakan platform sosial media seperti Facebook, Tiktok dan Instagram bagi memasarkan produknya.

Para pelanggan boleh mencari produk-produk atau aksesori hasil tangan Doris yang dimuat naik di Facebook Doris Adin; Ohana Glam Bead atau akaun Instagramnya di Ohana Glam Bead dan di akaun Tiktoknya dorisubong. Bagi yang berminat boleh menghubungi Doris di talian 017-282 0978.

“Syukur, rezeki saya masih ada, dari terkapai-kapai pada awalnya, saya kini mampu menarik nafas lega apabila pihak AIM meluluskan pembiayaan kewangan kepada saya bagi memulakan perniagaan ini,” Doris berkata.

Kini, tiga daripada anak Doris sedang dalam pengajian di peringkat universiti, manakala anak bongsunya bakal menyusul memulakan pengajiannya ke Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) Sibu pada November. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI