KUALA PILAH – Barisan Nasional (BN) menggesa jentera parti memperhebat gerakan mendampingi dan menyantuni para pengundi muda dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berbaki dua hari lagi.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jentera berkenaan perlu mengikis rasa bimbang atau khuatir untuk berbuat demikian dengan anggapan kebanyakan pengundi muda tidak menyokong BN.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, para pengundi muda kini lebih terdedah kepada banyak maklumat serta punya rangkaian luas dalam kalangan usia mereka.
“Mereka telah melihat kesan daripada PRU14 yang menyaksikan ekonomi negara terjejas. Pelaburan baharu tidak datang manakala pelabur lama bertindak keluar.
“Sedangkan anak-anak muda memikirkan nasib dan masa depan mereka. Mereka hendak membina kehidupan tetapi terhalang oleh kesan-kesan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Oghang Pilah Bersamo Tok Mat di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi BN Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim; calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dan para pemimpin BN tempatan.
Mohamad yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau menarik perhatian mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Februari lalu yang pertama kali melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas.
Pada mulanya, tambah beliau, BN agak bimbang kerana sejumlah 750,000 pengundi baharu telah didaftarkan dengan majoritinya orang muda.
“Namun keputusan PRN itu amat menakjubkan kerana BN menang di banyak saluran pengundi muda yang terletak di kawasan bandar seperti Permas Jaya, Larkin, Gelang Patah, Yong Peng, Air Hitam dan Kluang.
“Dalam PRU14 lalu, banyak kekalahan kita berpunca daripada saluran pengundi muda yang tidak menyokong BN,” ujarnya.
Menurutnya, perbandingan antara PRU14 dan PRN Johor itu jelas menunjukkan bahawa pengundi muda kini tidak mudah dipengaruhi untuk menyokong pihak yang gagal mentadbir dengan cekap dan berkesan.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama pada PRU15, Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE