PETALING JAYA – Pengeluar produk tenusu tempatan terbesar Malaysia, Farm Fresh Berhad (Farm Fresh) komited mahu membina generasi yang lebih sihat dan kuat dengan membekalkan susu yang penuh nutrisi dan berkhasiat kepada Pertubuhan Warisan Suci (Pewaris).
Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, selari dengan usaha jenama itu, Farm Fresh akan membekalkan susu secara berkala selama enam bulan berturut-turut kepada anak-anak Pewaris.
“Sumbangan susu ini juga antara lain ingin membekalkan nutrisi dari tenusu asli dan berharap usaha ini dapat memupuk minat anak-anak ini untuk terus menikmati khasiat susu.
“Antara sumbangan bekalan makanan termasuk tepung, beras, telur, santan dan oat,” katanya ketika menyampaikan sumbangan bekalan susu Farm Fresh dan sumbangan bekalan makanan kepada Pewaris.
Katanya, Farm Fresh sentiasa mengambil berat dan prihatin akan produk dihasilkan, justeru semua produknya mesti mempunyai khasiat tenusu asli dan tidak mempunyai bahan-bahan yang tidak sepatutnya diberikan kepada anak-anak.
“Usaha ini adalah usaha kecil kami untuk berbakti semula kepada masyarakat.
“Kami berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak ini untuk terus membesar dengan baik dan membina Generasi Farm Fresh yang kuat!,” ujarnya.
Terdahulu, Pewaris ditubuhkan untuk membantu memberikan pendidikan dan perhatian kepada anak-anak yang kurang bernasib baik.
“Kebanyakan mereka bermula dari peringkat taska berumur empat hingga enam tahun sementara rumah yang dikunjungi Farm Fresh kali ini melindungi hampir 30 anak-anak perempuan berumur bawah enam tahun.
“Selain bekerja, Farm Fresh sentiasa menyokong usaha kebajikan dan memupuk semangat sentiasa ingin memberi bakti kepada masyarakat di dalam kalangan pekerja kami,” katanya.-KOSMO! ONLINE