fbpx

Durasi Wakanda Forever berjela tetapi berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEGASI Raja T’Challa kini diteruskan oleh Shuri (kiri) lakonan Letitia Wright dalam Wakanda Forever.

BERKESEMPATAN menonton filem terbaharu Marvel Cinematic Universe (MCU), Black Panther: Wakanda Forever minggu lalu, harus dinyatakan di sini, itu adalah antara pengalaman sinematik terindah penulis sepanjang 2022.

Menderaskan adrenalin luar biasa adalah Wakanda Forever sememangnya sebuah mahakarya yang dinanti-nantikan ramai, terutama selepas dunia dikejutkan dengan kematian hero utamanya, mendiang Chadwick Boseman pada 2020.

Usah dipersoalkan tentang durasi panjang (hampir tiga jam), karya arahan sutradara Ryan Coogler tersebut ternyata juara daripada pelbagai sudut.

ANTARA babak menarik dalam filem terbaharu MCU, Black Panther: Wakanda Forever menggunakan teknik janaan komputer (CGI).

Dari segi naratif atau plot penceritaan, teknik janaan komputer (CGI), terjemahan karakter dan skor muzik, inilah naskhah yang memberi nilai kesempurnaan buat pencinta filem.

Mungkin kedengaran agak ‘biased’ dan ada yang berfikir, penulis terlalu melambung tinggi galaksi atau dunia ‘Wakanda’, namun itu terpulang kepada penerimaan masing-masing memandangkan cita rasa filem setiap orang bersifat subjektif.

Panjang

Dari segi naratif, sebenarnya ramai yang menurunkan kritikan bahawa durasi Black Panther: Wakanda Forever terlalu panjang mengalahkan filem Bollywood.

Secara peribadi, MCU melakukan tanggungjawab yang tepat dari aspek tersebut kerana bukan mudah untuk meneruskan ‘riwayat’ filem yang heronya sudah tiada lagi di dunia realiti.

Banyak perkara perlu disusun semula dari penulisan skrip dan pada masa sama, masih terkandung nilai komersial, emosi, perlambangan budaya serta usaha meneruskan ‘warisan’ versi perdana yang sangat berjaya, bukan sahaja dari segi kutipan tiket bahkan pengiktirafan trofi kualiti.

Dari segi teknikal seperti CGI dan kesan bunyi, Black Panther: Wakanda Forever mempunyai peluang cerah untuk diberikan pengiktirafan dari segi pentas Oscar.

WATAK Namor lakonan Tenoch Huerta yang mencuri perhatian ramai dalam Black Panther: Wakanda Forever.

Hal ini kerana, dua aspek yang disebutkan dilaksanakan dengan cemerlang. Cemerlang sehingga membuatkan bulu roma berdiri dan sangat beremosi.

Misalnya, adegan ketika penduduk Wakanda memberi penghormatan terakhir buat Raja T’Challa, biarpun jasadnya tiada di skrin. Hanya wajahnya tergantung, itu sangat memberi kesan kepada penonton.

Pengenalan dunia Talokan (kerajaan laut) yang banyak dibantu dengan teknologi CGI juga sangat-sangat memberi dampak yang kuat kepada audiens.

Karakter villain bernama Namor yang dimainkan Tenoch Huerta kini merupakan antara watak kesayangan dan kegemaran.

Komitmen pelakon hebat!

Menyentuh tentang permainan karakter, tepukan berdiri semestinya harus diberikan buat aktres hebat, Angela Bassett yang menjayakan watak Ratu Ramonda.

Lakonannya sangat berstatus ‘masterclass’ sehingga mencetuskan persoalan, mengapa dia masih belum menang trofi Oscar?

Adegan Ramonda mempertahankan Wakanda daripada serangan Talokan, membuatkan emosi berombak dengan sekencang-kencangnya.

Sementara itu, Letitia Wright yang diserahkan ‘baton’ sebagai Black Panther juga menjalankan peranannya dengan cukup berkesan.

ANGELA Bassett sebagai Ramonda membuatkan emosi audiens cukup terpukul dengan lakonan ‘papan atas’nya.

Dikenali sebagai ‘tech girl’ dalam filem sebelumnya, Letitia kali ini diberikan peranan berganda pentingnya dan limelight lebih disuluhkan kepada wataknya selepas kematian abang tersayang, T’Challa.

Energi dan komitmen lakonan terbaik dan sama juga dicernakan tunjang utama lain seperti Lupita Nyong’o sebagai Nakia, Danai Gurira (Okoye) dan Winston Duke (M’Baku).

Dominique Thorne sebagai Riri Williams atau Ironheart juga tidak kurang hebat walaupun kostumnya mengundang kritikan. Seperti Ironheart ingin menyertai ‘pasukan’ Power Rangers.
Dengan peluncuran Wakanda Forever di pawagam, penantian untuk Phase 5 Marvel semakin membuak-buak dengan hanya berbaki sebuah lagi filem iaitu Guardians of the Galaxy Holiday Special tidak lama lagi.

Keseluruhannya, Wakanda Forever tersemat menjadi sebuah penjalanan emosi luar biasa yang perlu dinikmati semua, spesifiknya pencinta Marvel.

Satu perkara yang mengecewakan barangkali adegan atau bahagian post-credits. Ini barangkali tidak akan menjadi ‘spoilers’, jangan buang masa menunggu kerana satu perkara yang pasti filem Black Panther selanjutnya akan berlaku dan Shuri akan meneruskan legasi yang ditinggalkan T’Challa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI