JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi kini berada di fasa akhir persediaan sebelum berlepas menyambung pengajiannya di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS) tahun depan.
Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat (s) itu hanya mengambil masa selama 20 minit dalam sesi temu duga permohonan visa pelajar di Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.
Azeem, 18, mengakui, perasaannya sangat teruja dan sudah tidak sabar untuk memenuhi impiannya ‘berguru’ di AS apabila dijangka perlu berada di sana sebelum 10 Januari 2023.
“Alhamdulillah semuanya sudah selesai termasuk peperiksaan yang perlu saya ambil dan juga urusan visa ke AS. Kiranya visa ini adalah langkah terakhir persediaan kerana saya dah tahu bila akan ‘terbang’ ke AS.
“Daripada apa yang saya baca, paling lama proses untuk dapatkan visa dalam 28 hari. Hari ini (semalam) mereka (kedutaan AS) kata lima hari saja dah boleh datang ambil (visa).
“Sepatutnya 12 Disember lagi saya dah boleh berada di AS tetapi saya perlu tunggu urusan visa dahulu. Saya bercadang bergerak awal seminggu atau minggu pertama Januari sebelum 10 Januari sebab kelas saya akan bermula 11 Januari.
“Saya akan bergerak seorang diri dan ada pihak universiti tunggu di sana. Kalau sampai awal lebih bagus untuk saya cepat sesuaikan diri di sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Raja pecut Sukan Malaysia 2022 itu sudah kembali menjalani latihan dengan melakukan proses conditioning dan dijadualkan menghadapi satu kejohanan di Sabah bulan depan.
“Saya nak dapatkan angin, rentak serta suasana kejohanan supaya saya bersedia dan tiada masalah sesuaikan diri apabila berada di AS,” jelas pelari pecut dari Perak itu.
Dua pentas utama menjadi sasaran Azeem tahun depan iaitu Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary pada Ogos dan Sukan Asia di Hangzhou, China sebulan kemudian.