fbpx

Azab tanggung tong air lima gelen naik, turun tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHENG Yur (Kiri) ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini tadi.

GEORGE TOWN – Seorang remaja tidak dapat menggambarkan detik ngeri yang dialaminya sepanjang lapan bulan menjadi mangsa skim penipuan tawaran pekerjaan setelah dibawa ke KK Garden, sebuah lokasi terpencil di Myanmar sejak Februari lalu.

Akui Koh Sheng Yur, 19, dia pada mulanya hanya ditawarkan pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat di Kelantan dengan bayaran gaji dari RM5,000 hingga RM6,500.

Menurutnya yang berasal dari Pekan di Pahang, skop pekerjaan itu diterima menerusi iklan di laman sosial Facebook (FB) selepas melihat angka gaji yang lumayan.

“Saya terus menghubungi individu yang tertera pada iklan di FB, juga merupakan orang tempatan. Dia meminta saya datang ke Kelantan. Setibanya saya di sana (Kelantan) saya sekali lagi dibawa seorang individu (ejen) dengan menaiki bot merentasi Sungai Golok ke Thailand.

“Dari Thailand, dalam suasana malam yang gelap gelita, saya dibawa menggunakan laluan tikus dan terus ke sebuah rumah flat dipercayai di KK Garden. Di sana, bukan saya seorang tetapi ada beratus-ratus rakyat Malaysia berusia 18 hingga 35 tahun.

“Saya diarah membuat kerja penipuan atas talian ke atas pelanggan terdiri rakyat Amerika. Saya hanya tidur tiga hingga lima jam sehari, jika terlelap semasa bekerja memang akan kena penampar,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini tadi.

Terdahulu, Sheng Yur selamat pulang ke tanah air Ahad lalu dengan usaha ibunya, Madam Loke, 59, bersama Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang juga calon Bebas Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Johny Ch’ng.

Beritahu anak bongsu daripada empat beradik itu lagi, sepenuhnya masanya hanya menangis setiap kali mengenangkan keluarga di Malaysia termasuk memikirkan jalan pulang.

“Mereka meminta RM50,000 sekiranya mahu pulang ke Malaysia. Ketika di sana, saya tidak pernah dibayar gaji seperti mana yang dijanjikan dan belum pernah dapat sasaran atau mangsa sindiket penipuan.

“Disebabkan tidak dapat komisen, saya dipaksa bawa tong isian air yang besar (lima gelen) pusing lima hingga tujuh kali padang berhampiran selain naik dan turun tangga dari tingkat lima sebanyak lima hingga enam kali sehari,” ujarnya sebak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI