fbpx

3,823 naskhah, bahan al-Quran dirampas termasuk dalam rumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Hilmi menunjukkan al-Quran yang mengandungi penulisan rumi dari Indonesia. FOTO/ AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Sebanyak 3,823 naskhah, bahan dan hasil penerbitan al-Quran khususnya dari Indonesia dirampas menerusi Ops Naskhah di seluruh Selangor bermula 1 Oktober hingga semalam.

Turut dirampas adalah 943 filem di dalam format cakera video digital (DVD) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM110,221.19.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ahmad Hilmi Said berkata, rampasan itu hasil risikan dan operasi dilaksanakan pihaknya dengan mendapati bahan-bahan berkenaan tidak melalui atau melepasi tapisan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) dan Lajnah Tashih al-Quran.

Katanya, LPPPQ adalah terdiri daripada 14 mufti seluruh negara dan seorang pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Hasil pemeriksaan juga mendapati naskhah al-Quran yang dirampas mengandungi penulisan rumi yang diperoleh dari Indonesia.

“Tulisan rumi dalam al-Quran tidak dibenarkan di negara ini dan telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, kecenderungan terhadap penggunaan tulisan rumi dibimbangi akan menyebabkan bahasa arab yang menjadi bahasa penulisan al-Quran akan terpinggir.

Ahmad Hilmi menambah, lebih menambahkan kebimbangan LPPPQ apabila pertuturan dalam rumi itu menyalahi nahu bahasa arab dan tidak mustahil maknanya sebenarnya juga akan terpesong.

“Setakat ini, kita tidak mengesan sebarang penglibatan sindiket dalam penjualan naskhah al-Quran tersebut sebaliknya lebih kepada permintaan selepas dijual di media sosial.

“Harganya pula ada antara RM40 hingga RM100 mengikut saiz dan kes disiasat mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di pintu masuk utama negara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelabuhan Klang, dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah selain di kedai-kedai berkaitan.

“Ini bagi memastikan kemuliaan bahan dan teks al-Quran sentiasa terpelihara dan hasil-hasil penerbitan yang berada dalam negara adalah tidak bersalahan dengan undang-undang,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI