JOHOR BAHRU – Pengusaha Restoran Al-Hanin di Taman Rinting di sini mengambil inisiatif berkongsi rezeki menyediakan 200 bungkus nasi arab secara percuma kepada pengundi yang mengunjungi premisnya, Sabtu ini.
Zulrahim Yusof berkata, idea itu diambil bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat untuk sama-sama keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Selain itu, Zulrahim memberitahu pihaknya juga akan memberikan diskaun sebanyak 15 peratus kepada pelanggan yang menikmati makanan secara ‘dine-in’
“Pelanggan hanya perlu menunjukkan jari mereka yang telah dicelup dakwat sebagai tanda sudah mengundi, dan kami akan beri sebungkus nasi arab mandy berlauk ayam. Promosi ini terhad sebanyak 200 bungkus.
“Namun, kepada pelanggan yang hadir untuk makan di sini, mereka boleh menikmati tawaran diskaun makanan sebanyak 15 peratus, dan promosi inj bermula pada pukul 11 pagi, hari Sabtu,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Tambah Zulrahim, tawaran itu merupakan satu sedekah pihaknya sebagai rakyat Malaysia untuk menggalakkan lebih ramai masuk keluar mengundi pada 19 November ini.
“Saya juga berharap generasi muda bukan sahaja di Pasir Gudang, tetapi di seluruh negara untuk sama-sama keluar mengundi bagi masa depan negara.
“Semoga kerajaan baharu yang ditubuhkan kelak stabil dan menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut melihat cara berkongsi rezeki sebagai salah satu cara saya dapat berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat yang telah menyokong perniagaan saya selama ini. – KOSMO! ONLINE