PETALING JAYA – Penyandang Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sanggup membahayakan diri semata-mata untuk berkempen apabila dilihat berdiri di atas pembahagi jalan raya sambil memegang plakad.
Aksi calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu kemudiannya tular di laman sosial apabila klip videonya telah dikongsi oleh beberapa pengguna jalan raya.
Menerusi klip video berdurasi 30 saat itu, kelihatan Zuraida cuba ‘meraih’ perhatian pengguna jalan raya dengan memegang plakad yang tertera gambarnya sebagai calon Parlimen Ampang.
Difahamkan, video itu dirakam ketika Zuraida bersama penyokongnya hadir program ‘flashmob’ yang diadakan di Jalan Ampang.
Bagaimanapun, tindakan Zuraida itu dilihat membahayakan, bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada pengguna jalan raya yang lain.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna menasihatkan calon itu supaya berkempen di kawasan yang tidak membahayakan diri serta tidak mengganggu kelancaran trafik di sekitar Jalan Ampang.
“Nak berkempen pun janganlah sampai membahayakan diri, Jalan Ampang tu jalan sibuk, bukan sahaja membahayakan diri malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” tulis Zikri.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ahmad Kalish.
“Banyak lagi tempat boleh berkempen, kenapa pilih jalan raya? Kalau berlaku kemalangan macam mana, kena fikir soal keselamatan juga walaupun dah nak dekat PRU,” nasihatnya. – KOSMO! ONLINE