LAWAS – Seorang lelaki maut selepas jentera excavator yang dikendalinya musnah terbakar dalam tragedi letupan paip gas Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) di Long Ugui, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang, mangsa yang maut dikenali sebagai Hadi Wiyono.
Kejadian sama juga turut menyebabkan dua lelaki lagi cedera dan empat kenderaan yang berada di sekitar lokasi kejadian terbakar.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian tersebut sekitar pukul 2.49 petang.
Jelas kenyataan itu, seramai 10 anggota dan tiga jentera Balai Bomba Penyelamat Lawas digerakkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati berlakunya kebakaran melibatkan gas ‘pipe line’ milik Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) telah menyebabkan letupan berkeluasan radius 400 meter.
“Akibat kebakaran dan letupan itu, sebuah motosikal terbakar 50 peratus, sebuah ‘excavator’ musnah terbakar sepenuhnya, diikuti sebuah ‘bulldozer’ dan lori terbakar 30 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan itu, pasukan bomba turut mengalami kesukaran ke lokasi atas faktor keadaan jalan yang tidak dapat dilalui oleh jentera.
Sehubungan itu, perjalanan ke lokasi hanya menggunakan kenderaan Nissan Navara serta membawa peralatan operasi bergerak ke lokasi kejadian.
“Dua unit alat pemadam api digunakan untuk pemadaman kebakaran ‘excavator’ kerana tiada sumber air terbuka di lokasi.
“Ekoran kejadian itu, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera melecur di beberapa anggota badan dan punca kebakaran masih dalam siasatan” katanya. – KOSMO! ONLINE.