fbpx

Tempoh singkat jadi PM, Ismail Sabri catat banyak kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail SABRI bergambar bersama pengunjung program Jualan Karnival Keluarga Peladang di Laman Kerayong, Bera baru-baru ini.

BERA – Kerajaan yang diterajui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencatat pelbagai kejayaan walaupun hanya dalam tempoh 14 bulan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ia termasuk kejayaan Ismail Sabri mengeluarkan negara da­ripada pandemik Covid-19 serta menstabilkan politik negara dengan menjalin memorandum persefahaman kerjasama bersama pembangkang.

Sehubungan itu, bagi Ismail Sabri, beliau tidak me­ngendah tindakan pembangkang mencerca beliau sebagai pemimpin paling singkat jadi Perdana Menteri kerana yang mustahak tentang pencapaian kerajaan pimpinannya.

“Yang penting pengisian ­sewaktu tempoh itu. Tempoh masa pendek atau panjang itu tidak penting. Panjang tapi tidak melakukan apa-apa untuk kepentingan rakyat pun tidak ada makna,” katanya dalam satu temu bual di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, beliau mengambil alih tampuk kerajaan pada Ogos tahun lalu dalam keadaan terlalu sukar termasuk wabak Covid-19 masih mengganas, ekonomi amat teruk dan politik tidak stabil.

Menurutnya, dalam tempoh singkat sebagai Perdana Menteri, perkara-perkara tersebut dapat diatasi termasuk kes ­Co­vid-19 dapat diturunkan sehingga membolehkan negara membuka semula sektor ekonomi.

Ujar beliau, keadaan politik pula dapat distabilkan menerusi memorandum persefahaman kerjasama antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) iaitu yang pertama seumpamanya dalam sejarah negara.

“MoU itu membawa kepada beberapa penambahbaikan sistem demokrasi negara terma­suk undang-undang anti-lompat parti dan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

“Saya lihat perbalahan politik sia-sia kerana fokus yang patut diberikan oleh kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia di bawah pentadbiran beliau yang terbaik di Asia Tenggara de­ngan Jumaat lalu pertumbuhan KDNK 14.2 peratus untuk suku ketiga 2022.

Justeru, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai prestasinya, namun berharap orang ramai akan turut mengambil kira pentadbirannya adalah kerajaan campuran melibatkan pesaing Barisan

Nasional (BN) seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Bukan senang nak urus kerajaan campuran terutama yang terdiri daripada pesaing anda. Kena ingat UMNO tidak mahu situasi itu,” katanya.

Tambahnya, beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri, menggunakan peluang itu untuk kepentingan rakyat di sebalik kerumitan dan cabaran me­ngurus pakatan parti-parti yang bersaing.

Ismail Sabri berkata, ia termasuk membe­lanjakan RM77.7 bilion untuk subsidi pada 2022 iaitu seganda berbanding per­belanjaan tahun lalu kerana memahami ramai yang masih bergelut walaupun ekonomi telah dibuka semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI