PETALING JAYA – Ramai sebak melihat reaksi seorang suami apabila ujian kehamilan isterinya menandakan hamil selepas empat tahun menanti kehadiran cahaya mata.
Menerusi perkongsian video di TikTok oleh @neddyyazid92 yang merupakan isteri kepada suami tersebut menyaksikan reaksi terharu suaminya apabila melihat dua garis merah di ujian kehamilan. Hal ini sekali gus menamatkan penantian suaminya selama empat tahun.
Suami kepada wanita tersebut dilihat tersenyum gembira disamping mata yang sudah berkaca dipenuhi air mata kegembiraan.
Sejurus video itu telah tular, rata-rata orang ramai meninggalkan pelbagai reaksi termasuklah rasa sebak dan terharu melihat reaksi suami kepada wanita tersebut.
“Masya-Allah akak, saya menangis melihat ini, doakan saya yang cuba mengandung hampir tujuh tahun. Saya yakin Allah akan bagi juga pada waktu yang terbaik,” luah seorang pengguna TikTok.
“Ya Allah kenapa aku yang sebak sangat sampai menangis, faham sangat perasaan itu abang, hati sedih bercampur gembira apatah lagi sudah empat tahun menunggu. Semoga sihat-sihat sahaja. Aamin,” tulis seorang lagi pengguna.
“Saya pun menangis tengok suami awak nangis, dia punya perasaan itu menusuk ke kalbu. Jika Allah izinkan, saya mahu gembirakan suami saya macam itu juga,” luah seorang pengguna TikTok yang lainnya.
Dalam pada itu, terdapat juga orang ramai yang berkongsi pengalaman yang hampir sama ketika pertama kali mengandung.
“Samalah macam suami saya, selepas beritahu saya mengandung, suami terus tidak selera makan kerana terlalu gembira,” kongsi seorang pengguna.
“Aku yang mengandung dua minggu pun sudah gembira yang tidak terkata apatah lagi mereka yang menanti selama empat tahun, sebak lain macam perginya,” tulis seorang pengguna TikTok yang lain.
Setakat ini, perkongsian video yang tular itu telah meraih sebanyak lebih 400,000 tontonan, 33,200 tanda suka dengan 696 perkongsian dan dihujani dengan komen dan ucapan tahniah daripada orang ramai. – KOSMO! ONLINE