KOTA BHARU – Figura (M) Sdn. Bhd. (Figura International), pengeluar produk penjagaan kesihatan, mengunjurkan jualan produk terbaharunya, Figura Junior bakal mencecah kepada 10,000 unit menjelang tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hafiz Khalid berkata, nilai sasaran tersebut mampu dicapainya bersandarkan rangkaian pemasarannya yang semakin meluas dan sokongan daripada para pengedarnya yang kini telah bertambah kepada hampir 5,000 orang.
Ia turut disokong oleh keyakinan pelanggan terhadap produk sedia ada keluaran syarikat iaitu Figura S dan Figura Coffee Latte yang telah diperkenalkan masing-masing pada bulan Julai dan November tahun 2021 dengan menampilkan testimoni positif daripada pelanggan sekali gus melonjakkan jualan syarikat.
Menurut beliau, produk baharu Figura Junior yang ditawarkan pada harga RM55 seunit itu akan dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan untuk usus dan menguatkan sistem imunisasi tubuh badan kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas.
“Produk ini diperkenalkan di pasaran, tepat pada masanya kerana kita sangat bimbang tentang cara pemakanan murid sekolah yang gemar mengambil makanan segera yang pastinya mengundang kepada risiko kesihatan kerana ia memiliki kandungan kolesterol dan kadar gula yang amat tinggi malah akan menggangu fungsi badan termasuk otak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Mohd. Hafiz menjelaskan, produk Figura Junior yang dihasilkan itu adalah selamat, bebas bahan kimia tanpa gula dan diformulasi daripada bahan alami seperti Maqui beri, Gingko Biloba, Safron dan Fructo Oligosaccharides (FOS).
Ia mengandungi khasiat seperti vitamin, mineral, serat dan nutrien terbaik menjadikan sebagai makanan tambahan untuk kesihatan otak dan usus serta membantu menguatkan.
Sementara itu, Pengarah Pemasarannya, Mohamad Ridzuan Ahmad memberitahu, Figura International turut membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah (B40) terutamanya suri rumah dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan melalui program Figura Leaderships Training Course (FLTC).
“Program ini akan berlangsung selama lima bulan dan kami akan pastikan golongan B40 termasuk suri rumah yang menyertai program ini akan berjaya menjana pendapatan untuk mengubah taraf hidup diri dan keluarga masing-masing.
“Program ini berasaskan kepada sistem mentor dan ia akan melibatkan sehingga 32 ejen daripada latar belakang berbeza termasuk suri rumah dan ibu tunggal terpilih untuk terbabit dalam program ini,”ujarnya.
Mohamad Ridzuan menerangkan inisiatif pastinya akan berjaya ekoran kejayaan syarikat sebelum ini yang telah menganjurkan program Figura Ambassador Club (FAC) selama tujuh bulan sebelum ini dan hasilnya amat menakjubkan.
“Ramai peserta yang hadir telah berjaya keluar daripada zon selesa mereka dan kini menjadi ejen sekali gus mereka bakal menjadi pencetus kepada kebangkitan golongan B40 khususnya golongan wanita,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE