KUALA SELANGOR – Penyediaan laluan khas bagi individu yang positif Covid-19 untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dapat dilaksanakan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kementeriannya dan pihak berkaitan sudah melakukan pelbagai perbincangan mengenai perkara tersebut.
Jelas beliau, pihaknya tidak menyediakan laluan khas bagi pesakit yang positif dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut sudah mendapatkan pilihan terbaik mengenainya.
“Perkara itu diputuskan selepas mengambil kira kekangan sumber, ruang dan tenaga kerja.
“Setakat ini, prosedur operasi standard (SOP) adalah mengikut apa yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah),” katanya selepas program Selangkah ke Menara Gading di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini, hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan pengundi mengenai kemungkinan terpaksa membuang undi dengan mereka yang telah dijangkiti Covid-19.
Ahad lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menggariskan ketetapan bagi golongan itu, namun tidak menyatakan soal laluan atau zon mengundi.
Ketetapan itu termasuk kewajipan pemakaian pelitup muka bagi pengundi berkenaan di pusat pengundian.
Pengundi yang positif Covid-19 turut tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk Grab. -KOSMO!ONLINE