BERBAKI tiga hari lagi sebelum tibanya hari mengundi pada Sabtu ini, setiap individu pastinya sudah mempunyai calon pilihan masing-masing untuk dipangkah pada kertas undi.
Teringat penulis beberapa minggu lalu sewaktu kempen giat dijalankan. Jentera-jentera parti mahupun individu perseorangan gigih berkempen dan mempromosikan calon pilihan masing-masing di media sosial.
Biarpun ada dalam kalangan individu tersebut hanyalah insan biasa dan tidak mempunyai pengalaman luas dalam dunia politik negara, namun melihatkan viewers yang diperoleh membuatkan penulis terkejut dan mula terfikir sejauh mana golongan ini mampu mempengaruhi pengundi dalam membuat pilihan.
Melihatkan apa yang telah berlaku pada Pemilihan Presiden Amerika Syarikat pada 2016, yang mana media sosial telah menjadi medan ‘perang’ untuk berkempen oleh generasi muda dan ia memberi impak besar.
Ternyata teknologi baharu menerusi platform media sosial membuka peluang kepada golongan ini untuk menyampaikan maklumat secara terus kepada orang ramai.
Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ramai individu yang meragui sejauh mana kesahihan sumber yang dimuat naik di media sosial.
Menurut penganaliss politik dari Univeriti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muiz, apabila bercakap tentang media sosial, platform tersebut dilihat lebih terkedepan dalam menyaingi media arus perdana.
Disebabkan itu katanya, penyampaian yang diberikan media arus perdana perlu lebih kreatif dalam menarik perhatian ramai.
“Media ini sangat besar, jika di arena politik, ia merupakan fourth estate dalam organisasi kerajaan. Itu sebabnya ia sangat berkuasa.
“Tidak dinafikan, peranan media sangat penting dalam mana-mana PRU walaupun pada satu tahap, peranan media arus perdana semakin dicabar media sosial.
“Peranannya tetap sama dari segi menyampaikan maklumat dan sebagai ejen sosialisasi dan pembentukan fikiran.
“Bagi saya, yang harus dimainkan media adalah harus kekal dan melaporkan yang sepatutnya. Paling penting, ia harus menjadi ejen perubahan kepada masyarakat,” katanya.
Ujarnya, jika melihat ketika PRU14, kebanyakan media arus perdana agak tenggelam dibandingkan pesaingnya.
“Sebab itulah, media arus perdana perlu jaga prinsip dan kreatif, selain perbincangan telus dengan membuat liputan kedua-dua pihak berkepentingan.
“Jika ini berlaku, orang akan kembali ke media arus perdana dan lebih menghormatinya kerana selalunya, ia ada tradisi dan nostalgia sendiri,” ujarnya.
Menyentuh dunia kewartawanan pula, proses kitaran daripada senior kepada junior dilihat sebagai sebuah sekolah atau universiti yang tidak boleh ‘dibeli’ dengan wang ringgit.
Ia tiada dalam konteks media sosial yang ketika ini digunakan generasi muda.
Bagaimanapun, apa yang baik di media sosial dan tiada pada media arus perdana boleh diambil dan dipraktikkan.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan pula berkata, hakikatnya apa yang ada di media sosial itu tidak boleh dipercayai 100 peratus dan masih ada kesangsian tentang kesahihannya berbanding apa yang keluar di media arus perdana.
Seharusnya ia memainkan peranan yang tidak berat sebelah apabila melaporkan sesuatu perkara.
“Dalam hal ini, media arus perdana perlu melaporkan kegiatan atau hal ehwal kesemua parti yang bertanding.
“Ini kerana, pada ketika ini jika berlawan dengan media sosial, media arus perdana agak ketinggalan,” katanya.