GUA MUSANG – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyeru semua ahli Barisan Nasional (BN) supaya tidak berpecah-belah dan fokus kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li melahirkan rasa sedih apabila ketika parti itu sedang berjuang menghadapi PRU15, namun masih ada perbalahan dalam kalangan ahli BN.
Katanya, ahli parti perlu bersatu padu bagi memastikan kemenangan milik BN dan seharusnya tidak wujud perbezaan antara mereka.
“Saya rasa dukacita kerana di saat menghadapi musuh yang boleh kita sifat sebagai perang. Jadi, sepatutnya kita bersatu dan patut mempunyai pendirian yang sama dengan tiada perbezaan antara kita.
“Soalnya, kita sudah tentu siapa yang nak diangkat, siapa yang akan dipilih dan yang kita seru kepada rakyat untuk memilih. Tetapi di tengah-tengah ini kita sibuk berkelahi sesama kita, apa lagi yang kita tak puas hati.
“Apa lagi perkara yang mesti diheboh-hebohkan? Ini hanya memberi peluang kepada musuh untuk memecah-belahkan kita lagi,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan belia Orang Asli, di kediamannya di Bukit Cekati di sini semalam.
Tengku Razaleigh turut menasihatkan supaya ahli BN menghentikan segala perbalahan dan fokus kepada pemilihan pemimpin yang boleh membaiki keadaan ekonomi dan nasib rakyat.
Katanya, ini masanya mereka patut bersatu dan tonjol orang yang berkebolehan dan benar-benar layak untuk menstabilkan kedudukan politik. – KOSMO! ONLINE