PONTIAN – Barisan Nasional (BN) Johor meminta pengundi di Kawasan Parlimen Tanjung Piai dan Pontian memberikan sokongan kepada calon-calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, momentum kejayaan parti keramat BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac lalu perlu diteruskan kepada kerusi-kerusi Parlimen pula.
Katanya, walaupun meraih keputusan dua pertiga, namun belum cukup untuk memastikan segala agenda pembangunan dapat dilakukan tanpa ada sokongan daripada kerajaan Pusat nanti.
“Keputusan pada PRU15 ini amat penting kerana akan menjadikan negeri Johor bertambah maju dengan adanya pentadbiran yang seiring dengan pentadbiran di Putrajaya.
“Pelaburan 60.9 billion yang masuk selepas kemenangan dua pertiga pada PRN Johor perlu dipertingkatkan bagi membolehkan lebih banyak peluang ekonomi dapat dijana,” katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan Masyarakat Tionghua di Pusat Perniagaan Kota Emas, di sini malam semalam.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor menambah, bagi memastikan pembangunan di peringkat negeri dapat diteruskan memerlukan sebuah kerajaan Pusat yang stabil dan kukuh.
Beliau seterusnya berjanji akan membantu penduduk daerah Pontian mendapatkan sebuah Hospital baharu bagi menggantikan hospital lama yang kini dijadikan isu oleh pihak pembangkang.
Bagi mencapai impian tersebut, pengundi di Parlimen Tanjung Piai dan Pontian dapat memberikan kemenangan mutlak kepada calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Selain itu katanya, masalah jalan yang kurang elok di daerah Pontian juga akan diberikan tumpuan oleh Kerajaan Negeri bagi melancarkan perhubungan dan urusan seharian oleh pengguna.
“Justeru itu, hanya kerajaan BN sahaja yang mampu memberikan kestabilan politik dan kemakmuran kepada pelbagai kaum di negara ini seperti mana yang diamalkan oleh kerajaan BN sebelum ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE