PETALING JAYA – Sejumlah 30 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka dan tujuh individu ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) , semalam.
Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, lima siasatan dibuka di Perak, Negeri Sembilan (empat) diikuti Kelantan, Kedah, Selangor, Pahang dan Sarawak (tiga).
Ditambah juga, Kuala Lumpur (dua), serta satu di Melaka, Terengganu dan Sabah.
“Dalam semua kesalahan yang dilakukan, tujuh individu ditahan membabitkan kes yang dilaporkan di Perak, Pahang, Kelantan dan Sarawak serta sebanyak 30 kertas siasatan telah dibuka,” katanya.
Jelas beliau, antara tangkapan yang dibuat semalam, tiga individu telah ditahan di pekarangan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, kerana melakukan pengedaran risalah parti politik.
“Pangkalan TLDM yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan, tiga lelaki itu telah melanggar peraturan yang ditetapkan kerana mengedarkan risalah politik ke peti surat rumah di kawasan tersebut.
“Kesemua individu itu diberikan kelulusan masuk pangkalan bagi urusan melawat saudara sahaja, namun kesemua mereka telah melakukan aktiviti pengedaran risalah politik tanpa sebarang kelulusan dari pihak TLDM,” katanya. – KOSMO! ONLINE.