SHAH ALAM – Polis Selangor menerima 253 laporan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi tempoh 10 hari bermula 5 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, daripada jumlah laporan itu, sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka dengan melibatkan tangkapan lima individu.
“Semalam sahaja sebanyak 26 laporan polis telah diterima dengan tiga kertas siasatan baru dibuka.
“Selain itu, sebanyak 2,931 permit kempen dan ceramah diadakan seluruh negeri ini bagi tempoh sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Arjunadi menasihatkan kepada calon yang bertanding mahu pun masyarakat agar sentiasa menghormati dan mematuhi lunas undang-undang yang telah ditetapkan sepanjang PRU15 ini.
“Elakkan daripada membuat sebarang provokasi dan perkara-perkara yang boleh menimbulkan insiden tidak diingini yang mana sekali gus boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE