Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Kemelut di luar padang tidak menjejaskan moral dan fokus Terengganu FC (TFC) untuk turun bertemu Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam ini.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, anak buahnya lebih bersemangat bagi menceriakan penyokong setia Sang Penyu.
“Anak buah saya sentiasa bersedia untuk bermain dengan penuh keazaman dan semangat juang tinggi. Bukan itu saja, kami teruja berpeluang mara ke pentas final selepas Piala FA.
“Mereka sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan sejak awal musim dan momentum itu boleh dikekalkan,” katanya.
Nafuzi berkata, beliau dan anak buahnya mahu terus fokus bagi mencapai penamat musim yang menggembirakan.
Sehubungan itu, beliau dan para pemainnya memberi jaminan memberi komitmen 200 peratus di atas padang bagi mencari bekalan selesa untuk dibawa ke gelanggang sendiri.
“Skuad The Red Giant bukan lagi lawan sama yang kami tewaskan ketika aksi separuh akhir Piala FA lalu sekaligus kami perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Tambahnya, Selangor tidak pernah tewas dalam lapan perlawanan iaitu enam kali menang dan dua seri selain hanya bolos tiga gol sejak Cheng Hoe mengemudinya.
“Selangor menunjukkan banyak perubahan, corak permainan lebih tersusun dan saya tahu Cheng Hoe suka bermain (penguasaan) bola serta penggunaan dua pemain sayap yang laju.
“Apa pun saya harap kami dapat mengekalkan rentak kemenangan dan meraih keputusan positif untuk pertemuan kedua,” katanya.