GEORGE TOWN – Polis mengesahkan penahanan tiga pemuda yang bertindak agresif selepas disyaki mabuk dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah premis di kawasan Love Lane di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 31 tahun itu dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Central selepas menerima aduan daripada orang awam pada pukul 3.05 pagi.
Menurutnya, kesemua suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan Selangor itu diberkas di lokasi kejadian terbabit.
“Telah terkesan satu video berdurasi 52 saat yang dimuat naik menerusi satu laman Facebook ‘Mamu Jarum’ pada 16 November (hari ini) jam 12 tengah hari, memaparkan insiden pihak polis sedang menahan beberapa individu.
“Suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan semasa tangkapan. Kesemua suspek disyaki berada dalam keadaan mabuk.
“Semakan mendapati kesemua tangkapan tiada rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis THC (Tetrahydrocannabinol),” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau memberitahu, kesemua tangkapan telah ditahan reman selama tiga hari sehingga 15 November dan diberikan jaminan polis.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata. Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan arahan pertuduhan terhadap kesemua suspek,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE