SHAH ALAM – Seorang suri rumah yang didakwa atas pertuduhan membuat laporan palsu terhadap sebuah madrasah berharap keadilan dapat dibuktikan dengan sewajarnya.
Zuraina Zamri, 45, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding sebutan semula kes itu turut memaklumkan agar segala urusan berhubung pertuduhan dihadapinya akan dipermudahkan segalanya.
“Semoga dipermudahkan urusan dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya ringkas.
Terdahulu dalam prosiding berlangsung di hadapan Majistet Mohamad Reza Azhar Rezali menetapkan tarikh pengurusan kes pada 11 Januari tahun depan.
Ini selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb tidak dapat menyerahkan dokumen berkaitan kes tersebut, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Zuraina telah membuat laporan polis palsu pada 21 Ogos lalu di Balai Polis Taman Sri Muda de ngan mendakwa sebuah premis
merawat dan pemulihan Shah Alam telah mendera anak lelakinya ketika mendapatkan rawatan di pusat itu.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Dalam pada itu, Peguam Datuk Haniff Hashim mewakili tertuduh yang turut ditemui selepas prosiding itu berharap akan menerima dokumen itu untuk memasukkan representasi bagi pihak pendakwaan mengkaji semula pertuduhan.
“Kita akan forwardkan (majukan representasi) kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Ketika ditanya doken apa belum disampaikan, Haniff memberitahu, berdasarkan Seksyen 182 Kanun Keseksaan adalah memberikan keterangan palsu.
“Ada dua maksud iaitu mungkin keterangan oral (lisan) Zuriana kepada pihak polis atau keterangan bertulis dia (laporan polis).
“Peringkat ini, kita tidak tahu apa dokumen akan digunakan. Jadi, kita akan dapatkan itu dulu dan apa sebenarnya pertuduhan atau dokumen perlu ada dalam perbicaraan itu,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kejadian dera pelatih yang didakwa berlaku di sebuah madrasah di Shah Alam terbongkar selepas sebuah keluarga mahu menghantar kek dan makanan ke pusat berkenaan. – KOSMO! ONLINE