KLANG – Perbuatan seorang kerani swasta memiliki 62 video lucah dalam telefon bimbitnya pada empat tahun lalu membawa padah apabila didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret P. Sarulatha menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Noor Azmira Kamarudin, 44, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Sekiranya gagal bayar, bapa kepada seorang anak itu diperintah menjalani penjara lima bulan.
Berdasarkan pertuduhan, Noor Azmira didakwa memiliki 62 video lucah dalam telefon bimbit miliknya dengan kesalahan dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Putera di sini, pukul 8.30 malam pada 23 Oktober 2018.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Peguam Rajvinder Singh mewakili tertuduh memohon hukuman dikurangkan memandangkan Noor Azmira mempunyai seorang anak yang masih kecil serta turut menjaga ibu bapanya yang sudah uzur.
“Anak guam saya bekerja sebagai kerani dengan berpendapatan RM2,000 sebulan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Fazril Sani Mohd Fadzil meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan itu pada masa depan. – KOSMO! ONLINE