PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya disahkan meninggal dunia hari ini.
Menurut Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kali terakhir dia bertemu mendiang adalah pada 14 November lalu, di atas pentas ceramah di Kulim, Kedah.
Katanya, mendiang telah memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi Pakatan Harapan.
Berita berkaitan: PRU15: Senarai penuh calon di Parlimen Kedah
“Dengan rasa penuh hiba dan dukacita saya memaklumkan bahawa saudara Karupaiya A/L Mutusami, mantan Ahli Parlimen Padang Serai merangkap calon Pakatan Harapan bagi P.017 Padang Serai telah meninggal dunia hari ini.
“Mewakili seluruh keluarga besar PKR dan Pakatan Harapan, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang, pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan reformasi,” jelasnya melalui satu kenyataan sebentar tadi.
Tambahnya, jasa mendiang di Parlimen, kepada warga serta Cabang Padang Serai dan juga kepada Angkatan Tentera Malaysia terutama para veteran akan terus dikenang.
“Mendiang meninggal dunia di dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Semangat ini akan diteruskan oleh para pejuang PKR dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini,” katanya.
Mendiang Karupaiya merupakan bekas Pegawai Waran 1, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua Cabang PKR Padang Serai.
Laporan awal mendakwa, kematian calon PH tersebut akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE.